Monday, March 22, 2010

Bila zina bermaharajalela

Apakah yang kita dapat bayangkan jika perbuatan zina berleluasa di dalam masyarakat kita pada hari ini? Adakah kita akan berasa selesa dengan lahirnya bayi-bayi yang tidak mempunyai bapa? Bagaimanakah keadaan masyarakat kita pada ketika itu?

Jangan kita berasa kita selamat akibat bencana keruntuhan moral serta akhlak dikalangan masyarakat Melayu kita. Kini, laporan terbaru ada menyebutkan bahawa, kadar kelahiran bayi tanpa bapa ini meningkat dari tahun demi tahun.

Statistik hari ini, seramai 17,303 anak luar nikah Melayu atau tidak sah taraf didaftarkan di seluruh negara sepanjang tahun lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim, berkata bilangan itu meningkat 762 kes berbanding tahun sebelumnya. Pada 2008 seramai 16,541 anak luar nikah didaftarkan di JPN manakala pada 2007 seramai 16,100 orang.

Bagaimana reaksi kita?

Mari kita lihat peringatan dari Rasulullah s.a.w.

Daripada Maimunah Radhiallahu anha beliau berkata: “ Aku mendengar Rasulullah Shallahu alaihi wassalam bersabda: Umatku (ini) akan terus berada dalam kebaikan selama tidak tersebar luas anak zina di kalangan mereka.Apabila anak zina tersebar luas di kalangan mereka, maka hampir sahaja Allah azza wajalla akan menurunkan azab seksa kepada mereka seluruhnya.( Haditis riwayat Ahmad, baik sanadnya).